ISLAM SATU CARA HIDUP, HALAL BUKAN HANYA PADA MAKANAN
 
     
   
     
Content
MENU
Harap maaf . Laman web ini dalam proses penyelenggaraan.

 

Islam > Sirah > Sejarah Hijrah Dan Kewujudan Taqwim Islam

 

 
SEJARAH HIJRAH DAN KEWUJUDAN TAQWIM ISLAM

Penulis : Izhan Hamidi bin Ibrahim
Perunding AKADEMI AIDIT SDN. BHD.

Peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah membawa impak yang besar pada perkembangan dakwah Islam. Buktinya peristiwa ini telah dijadikan sebagai asas untuk mewujudkan taqwim Islam.

Taqwim Dalam Kehidupan Manusia

Wujud pelbagai bentuk taqwim yang digunakan sebagai panduan manusia untuk mengatur kehidupan sejak zaman berzaman lagi. Taqwim tersebut berbeza kerana sesetengah bangsa mengira taqwim mereka berdasarkan pergerakan matahari dan sebahagian yang lain pula menggunakan pergerakan bulan. Secara umumnya setiap tahun dibahagikan pada 12 bulan dengan setiap bulan mengandungi 28 hingga 31 hari dan setiap minggu mengandungi tujuh hari.

 

Sejak tahun 412 Masihi, masyarakat Arab di kepulauan Arab telah menggunakan taqwim qamari iaitu berasaskan pergerakan bulan. Walaupun memiliki sistem taqwim, masyarakat Arab masih suka mencatatkan perjalanan urusan hidup mereka berdasarkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam kehidupan. Antara peristiwa-peristiwa tersebut ialah :

i) Pembinaan Kaabah pada tahun 1855 sebelum Masihi.

ii) Keruntuhan empangan Ma’rib pada tahun 120 sebelum Masihi.

iii) Kewafatan Ka’ab bin Luai pada tahun 59 sebelum Masihi.

iv) Tahun Gajah iaitu tentera Abrahah cuba menyerang Kaabah pada tahun 571 Masihi.

v) Peperangan Fujjar yang berterusan sehingga empat tahun bermula tahun 586 Masihi.

Catatan mengenai peristiwa-peristiwa yang penting dibuat oleh masyarakat Arab berdasarkan kaedah dan pendekatan masing-masing. Oleh sebab itu, catatan yang dibuat dipengaruhi oleh faktor-faktor setempat seperti lokasi penempatan, kabilah, bahasa, cara penulisan dan sebagainya.

Justeru taqwim yang digunakan pada zaman tersebut tidak boleh digunakan sebagai panduan atau rujukan rasmi masyarakat umum kerana tidak seragam dan tiada penyelarasan.

Taqwim Pasca Tertegaknya Negara Islam

Setelah berlakunya peristiwa Hijrah, umat Islam meletakkan nama tahun berdasarkan peristiwa terbesar yang berlaku pada tahun tersebut. Antara nama-nama tersebut adalah seperti berikut :

Tahun pertama : Tahun disunnahkan azan

Tahun kedua : Tahun diwajibkan peperangan

Tahun ketiga : Tahun penyelidikan

Tahun keempat : Tahun perjanjian

Tahun kelima : Tahun gempa

Tahun keenam : Tahun keizinan

Tahun ketujuh : Tahun kekerasan

Tahun kelapan : Tahun persamaan

Tahun kesembilan : Tahun berlepas diri

Tahun kesepuluh : Tahun perpisahan

Setiap tahun diberikan nama dengan tujuan memberikan identiti untuk tahun tersebut, supaya mereka dapat menjadikannya sebagai rujukan dan peringatan.

Pada era pemerintahan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, umat Islam sibuk dengan urusan dakwah dan kerja-kerja mengembangkan ajaran Islam ke seluruh pelusuk dunia. Maka tidak ada penumpuan yang khusus diberikan untuk menggubal sistem taqwim Islam yang seragam.

Semasa era pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, ajaran Islam telah tersebar semakin meluas dan wilayah yang berada di bawah kekuasaan Islam semakin bertambah bilangannya. Maka wujudnya keperluan untuk umat Islam memiliki sistem taqwim yang sistematik dan seragam. Justeru, beliau telah mengambil inisiatif untuk menggubal taqwim Islam.

Penggubalan Taqwim Islam

Titik mula penggubalan taqwim Islam pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab dimulakan dengan mengumpulkan beberapa orang sahabat dan mengadakan perbincangan. Fokus utama perbincangan ialah untuk menentukan tarikh atau tahun yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam atau taqwim Islam.

Hasil perbincangan tersebut, mereka telah menerima cadangan yang dikemukakan oleh Ali bin Abi Talib untuk menjadikan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah, sebagai permulaan tahun Islam. Mereka juga turut bersetuju dengan pendapat Uthman Ibnu Affan untuk meletakkan Muharram, sebagai bulan permulaan bagi taqwim Islam.

Pemilihan Bulan Muharram Sebagai Permulaan

Merujuk kepada sejarah Islam, peristiwa hijrah bermula pada akhir bulan Safar dan Baginda SAW sampai ke pinggir Madinah pada hari Isnin bulan Rabiul Awal dan masuk ke Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal. Namun, bulan Muharram dijadikan sebagai bulan permulaan taqwim Islam kerana faktor-faktor berikut :

i) Mengikut perkiraan masyarakat Arab, bulan Muharram merupakan bulan pertama dalam taqwim mereka.

ii) Rasululllah SAW melakukan Bai’ah Aqabah pada bulan Zulhijjah. Selepas itu Baginda SAW menyuruh kaum muslimin berhijrah ke Madinah.

iii) Muharram merupakan bulan haram (diharamkan berperang)

Bila Dikira Bermulanya Hari Baru?

Pada masa dahulu, masyarakat Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang.

Pada zaman sekarang, orang Eropah mengira hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya. Maka hari yang baru, dikira bermula selepas detik jam 12.00 malam.

Para fuqaha’ Islam pula, menetapkan hari dikira mula dengan terbitnya fajar sadiq sehingga jatuh matahari. Maka pada hari yang baru dikira, bermula selepas jatuhnya matahari.

Kenapa Hijrah Dipilih Sebagai Asas?

Terdapat pelbagai peristiwa besar dalam sirah Islam yang boleh dipilih untuk dijadikan sebagai asas taqwim. Contohnya, tahun kelahiran atau tahun kewafatan Rasulullah SAW, peristiwa-peristiwa perang, permulaan turunnya wahyu dan sebagainya.

Namun peristiwa Hijrah dipilih sebagai asas taqwim Islam, berdasarkan faktor-faktor berikut :

Menghidupkan suasana Hijrah dan menyemarakkan penghayatan umat Islam pada iktibar peristiwa hijrah.

i) Menonjolkan titik perubahan umat Islam dari fasa ditindas dan dizalimi pada era kegemilangan serta penubuhan negara Islam.

ii) Mendedahkan permulaan pembinaan tamadun Islam yang merubah peradaban dunia, dari pembangunan bersifat keduniaan pada tamadun seimbang antara fizikal dan kerohanian.

iii) Tahun kelahiran Rasulullah SAW contohnya, tidak dijadikan sebagai asas taqwim Islam untuk mengelakkan berlaku persamaan dengan taqwim yang digunakan oleh orang Kristian iaitu tahun Masihi yang berdasarkan peristiwa kelahiran Nabi Isa as.

Akreditasi Wahyu

Pada hakikatnya, sistem taqwim yang berasaskan dua belas bulan telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran dengan firman-Nya yang bermaksud :

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah SWT semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah SWT beserta orang-orang yang bertaqwa.”

Penegasan oleh Allah SWT yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW berkaitan jumlah bulan iaitu 12 bulan bagi setiap tahun bagi memastikan kelancaran dan kelicinan urusan dan perjalanan hidup umat Islam.

Penegasan ini dibuat bagi mengelakkan berlakunya kegiatan meminda atau melewat-lewatkan taqwim mengikut hawa nafsu sebagaimana yang berlaku pada zaman jahiliah. Contohnya, mereka meminda taqwim supaya bulan haji tidak jatuh pada musim sejuk bagi membolehkan mereka menjalankan urusan perniagaan dengan lancar.

Perbuatan menyelewengkan taqwim jika tidak dicegah akan menjerumuskan umat Islam dalam keadaan cacamerba. Ini kerana ibadah dalam Islam merujuk pada taqwim, contohnya penetapan bermula puasa Ramadhan, penetapan tarikh wukuf jemaah haji di Arafah, pengiraan haul zakat dan sebagainya.

Hikmah Penetapan 12 Bulan Setahun

Secara zahirnya, penetapan 12 bulan setahun seolah-olah menyusahkan kerana ia berlaku di mana bulan haji jatuh pada musim sejuk atau puasa Ramadhan dan Aidilfitri jatuh pada musim banjir. Hakikatnya penetapan ini serasi dengan kehidupan umat Islam dan Islam itu sendiri sebagai agama yang fitrah.

Taqwim Islam yang berdasarkan pergerakan bulan akan menyebabkan bulan haji dan puasa Ramadhan jatuh pada pelbagai musim. Senario ini sebenarnya akan memberikan kesejahteraan beribadat kepada umat Islam secara keseluruhannya. Contohnya, bagi umat Islam yang berada di Hemisfera Selatan tidak akan sentiasa berpuasa pada musim panas yang menyaksikan waktu siang lebih panjang berbanding waktu malam.

Maka terbuktilah kepada kita bahawa sistem taqwim Islam ini amat bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. Justeru keputusan menjadikan taqwim Islam sebagai panduan dan rujukan dalam mengatur urusan dan kehidupan adalah pilihan yang tepat.

Wasiat Mengingati Hari-Hari Allah SWT

Umat Islam diseru supaya mengingati peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku dalam sirah Islam. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman : Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seseorang yang kuat bersabar lagi kuat bersyukur.”

(Ibrahim, 14: 5)

Maksud hari-hari Allah ialah peristiwa-peristiwa yang bersejarah bagi sesuatu umat yang sentiasa dikenang kerana mengandungi nikmat-nikmat pertolongan Allah SWT atau bala bencana-Nya yang membawa pada naik atau jatuhnya sesuatu umat.

Justeru salah satu prasyarat utama untuk membolehkan kita mengingati hari-hari Allah SWT ialah dengan memiliki ilmu berkaitan taqwim Islam. Salah satu ilmu tersebut ialah kemahiran mengira atau menukar tahun Masihi pada tahun Hijrah.

Bagaimana Mengira Tahun Hijrah?

Kebanyakan negara termasuk Malaysia menggunakan kalendar Masihi sebagai rujukan dan panduan dalam urusan pentadbiran. Kita boleh mengira atau menukar tahun Masihi pada tahun Hijrah dengan menggunakan formula berikut :

a) Tahun Masihi tolak (-) 622

b) Darab (x) dengan 33

c) Hasilnya dibahagi (/) dengan 32

Contohnya :

a) 2009-622 = 1387

b) 1387 x 33 = 45771

c) 45771/32 = 1430 (maka tahun 2009M bersamaan tahun 1430H)

Berdasarkan formula ini, kita boleh membuat pengiraan untuk mengetahui tahun Hijrah berdasarkan tahun masihi.

Penutup

Menginsafi bahawa di sebalik setiap hari-hari Allah SWT itu terkandung sejarah, iktibar, hikmah, fadhilat dan kebesaran yang sangat penting dan istimewa maka menjadi tugas dan tanggungjawab kita semua untuk memartabatkan semula taqwim Islam sebagai salah satu syiar Islam dalam urusan dan kehidupan.

Terima kasih kepada al-Kulliyyah, Badan Dakwah Daerah Petaling di atas maklumat ini.

 

kemaskini : 1 April 2010